CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

1 liter of tears - kitou aya

kali ini sudah kali ke empat saya menonton cerita 1 liter of tears. dan seperti biasa air mata meluncur turun. kalau boleh disukat, saya rasa air mata saya mengalir lebih dari 1 liter. kalaulah saya yang sebagai penonton pun sudah merasakan air mata saya lebih dari seliter, kalau kitou aya? mungkin lebih!

untuk kali ke empat ini, perasaan ingin tahu terhadap penyakit, karakter di dalam cerita sangat tinggi. setinggi gunung everest. jadi, saya gali segali-galinya. mungkin tak segali seperti saya buat tesis dulu. tapi, cukuplah sebagai pengetahuan asas.

penyakit ini dinamakan sebagai spinocerebellar degenarations. nisbah kes ialah 1:29,000. tapi, buat setakat ini ramai yang saya terjumpa (di internet) menghidap penyakit ini. mungkinkah nisbah penyakit semakin kecil sekarang? atau kerana saya membuat sedikit kajian jadi saya merasakan seperti penyakit ini biasa terjadi??

bagi saya, penyakit ini tak mengenal usia, jantina, kesihatan... kerana bagi saya, kitou aya adalah seorang perempuan yang cukup normal pada awalnya. aya seorang yang aktif bersukan, pandai, keluarganya tidak mempunyai penyakit ini... kerana melalui satu artikel, saya dapati yang penyakit ini lebih senang dihadapi oleh keluarga mangsa.

pelik. tapi itulah kebenarannya. manusia diuji dengan berbagai cara dan pada masa yang tidak dijangka. penyakit ini dapat saya samakan seperti bilik. bayangkan jika kita berada di suatu tempat yang didalamnya ada 100 bilik kecil. 100 bilik terpasang dengan 100 lampu. pada mana ketika kita berdiri gembira di dalam bilik itu, 1 lampu telah mati secara tiba-tiba. kita di dalam gelap. kita berjalan menghampiri bilik yang lain. bayangkan jika 1 per 1 bilik yang kita duduki , gelap secara tiba-tiba. kemana lagi yang harus kita pergi. setiap hari kita akan berada di dalam keadaan berjaga, membayangkan adakah hari ini lampu ini akan mati juga? dan kita akan berada di dalam bilik yang gelap sekali lagi?

tubuh aya semakin mengering tanpa pengetahuannya. 149 cm dengan berat hanya 36 kg. badannya sangat ringan dan mudah terjatuh. apa yang dipegang semuanya terlepas. seperti yang aya tulis di dalam diarinya..bagi dia, tiada istilah ambil. kerana susah bagi dia untuk ambil. yang ada hanya pegang. sekali dia pegang satu-satu barang, sukar bagi dia untuk melepaskannya kerana dia tidak dapat mengawal penggerakan otot tangannya.

apakah yang akan kita rasa jika 1 per 1 badan kita berhenti dari berfungsi. tapi, otak kita masih boleh berfikir dengan waras. aya hanya dapat melihat tubuh badannya berhenti dari berfungsi. dia tidak akan mengalah. kerana dia sedar itulah situasi yang dia perlu tempuhi. semangat aya yang tinggi menyebabkan pesakit-pesakit di hospital yang sama terdorong untuk sambung melakukan rehab.

antara kata-kata aya yang memberi kesan pada saya ialah tentang betapa indahnya dapat berjalan. ketika di sekolah rendah, dia selalu melihat budak-budak nakal akan didenda kerana berlari dan melompat melepasi pagar. tapi, aya tidak berani untuk melakukannya. jika dia tahu yang satu hari nanti, dia akan menjadi seperti sekarang, dia akan melompat dan berjalan banyak kali! kata-kata ini membuatkan saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang dan hidup menggunakan apa yang ada dengan sebaiknya!

drama menceritakan tentang penyakit aya dan keperitan aya. tetapi, diari menceritakannya dengan lebih terperinci. di dalam drama tidak menceritakan bagaimana rapuhnya aya. bagaimana dia berada di dalam keadaan yang sangat tertekan. bagaimana dia terjatuh hingga punggungnya berdarah. bagaimana dia terjatuh hingga kepalanya terhantuk dan dia sangat pening hingga dia merasakan yang dia akan mati. atau bagaimana seorang doktor pelatih membuatkan dia rasa ingin berkahwin!

perit! tapi, aya tidak pernah mengalah. jika ada benda yang tidak disenanginya, dia akan cuba tukar pemikirannya kepada yang lain. kerana menukar pemikirannya lebih baik dan lebih cepat dari menukar pandangan orang terhadapnya. kerana aya percaya pada ini
'dari mencari apa yang hilang, lebih baik menghargai apa yang ada sekarang.'

1 fakta yang menyentuh hati ialah asou kun hanya karakter tambahan di dalam drama. ini kerana mak aya mahu cita-cita aya untuk merasakan dirinya dicintai tercapai kerana aya tidak pernah jatuh cinta. mungkin, watak asou-kun diambil dari watak doktor pelatih di dalam kehidupan sebenar aya?? (hanya sekadar pandangan periadi saya.)

aya selalu mengingatkan dirinya yang dia ingin menjadi seorang yang berguna kepada orang lain. dia pernah terfikir untuk mendermakan tubuhnya bagi tujuan kajian. tetapi, bagi saya, kitou aya sendiri berguna pada semua orang. bukan sahaja mereka yang mempunyai penyakit yang sama, tetapi juga kepada orang lain. kata-kata aya terus hidup dan berguna pada yang lain.

diari 1 liter of tears bermula dari umurnya 14 tahun. dia terus menulis kerana dia percaya hanya dengan menulis dapat membuktikan yang dia masih hidup! pada umur 20 tahun, aya berhenti dari menulis kerana ketika itu keadaan aya semakin teruk. dia tidak lagi dapat berbuat apa-apa selain baring di atas katil. aya meninggalkan dunia ini pada 26/3/88 (26 tahun). tapi, cerita dan semangat aya masih hidup hingga kini!

saya berhenti dengan secebis kata-kata aya ini:-
saya tinggalkan higashikou (sekolah menengah) untuk hidup sebagai seorang yang kurang upaya. saya ingin berdikari dan terus hidup. saya sangat tenang sekarang kerana saya sudah banyak menangis. sudah pun mencapai 1 liter air mata. dan saya rasa akan ada lebih banyak pada masa akan datang. bertahan air mataku! - diari aya. (saya dapati ada kesan air mata pada diarinya) T__T


0 comments:

Post a Comment

::papan kenyataan::